Takziah kepada kaum keluarga Teoh Beng Hock.Kematian mengejut beliau yang merupakan setiausaha politik exco Selangor,Ean Yong Hian Wah,telah menggemparkan seluruh rakyat di negara ini.
Menurut laporan laman web
malaysiakini.com,beliau terbunuh selepas dipercayai terjatuh di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.
Kini timbul pelbagai spekulasi sama ada beliau dibunuh ataupun membunuh diri?Apapun rakyat tertanya-tanya mengapa beliau ditahan begitu lama untuk disoal-siasat.Ramai yang mempersoalkan prosedur soal-siasat yang dilakukan oleh pegawai-pegawai SPRM.Laporan akhbar mendedahkan Teoh dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3.45 pagi semalam.
Satu lagi pertanyaan yang perlu dijawab oleh pihak SPRM,apakah ketika disoal-siasat,Teoh ditemani oleh peguambelanya.Di warung kopi dan gerai-gerai makan,orang ramai yang berang tertanya-tanya jika beliau membunuh diri,mengapa seluarnya koyak rabak?Mereka turut mempersoalkan layanan pegawai SPRM terhadap mendiang Teoh.Itu belum lagi persoalan sama ada beliau dibenarkan mandi,makan dan minum atau menukar pakaian.Tok bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PAS,Salahuddin Ayub,pelik setelah selesai disoal-siasat pada pukul 3.45 pagi,mendiang teoh meminta untuk berehat di pejabat SPRM.Kebiasaannya,sesiapa sahaja setelah disoal-siasat akan pulang ke rumah.
Kematian misteri mendiang Teoh telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan menjadi rentetan siri-siri kematian misteri sebelum ini seperti kematian Kugan di dalam lokap.Sebelum kebimbangan dan ketakutan rakyat tercetus,eloklah satu suruhanjaya di raja ditubuhkan untuk menyiasat kematian mendiang Teoh seperti yang dicadangkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum rakyat hilang kepercayaan terhadap SPRM dan sebelum kredibilitinya tercemar,eloklah Suruhanjaya di Raja ditubuhkan segera bagi menyiasat kematian mendiang Teoh.
Kenapa Khir Toyo yang sedang menerima tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat Selangor berhubung istana mewahnya yang dianggarkan RM24 juta dan mereka yang terlibat dalam skandal PKFZ tidak disoal-siasat seperti mendiang teoh.Demikian luahan rasa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.Mendiang Teoh adalah seorang warganegara Malaysia.PDRM perlu bersikap telus dan adil menyiasat kematian misterinya tanpa mengambil kira warna kulit,agama atau latar belakang politiknya.Itulah harapan kaum keluarga mendiang teoh dan kita semua berkongsi harapan yang sama.
Pegawai-pegawai SPRM yang telah terlibat menyoal-siasat mendiang Teoh,perlu ditahan reman untuk disoal-siasat oleh polis.Tok nasihatkan eloklah kerajaan BN akur dengan cadangan Pakatan rakyat supaya suruhanjaya di raja ditubuhkan untuk menyiasat kematian mendiang Teoh kerana rakyat tidak mahu lagi insiden mata lebam Anwar,kematian mengejut Kugan dalam lokap polis dan terkini kematian misteri mendiang Teoh di bangunan SPRM berulang lagi.
Jika kerajaan BN gagal berbuat demikian dan dilihat oleh rakyat cuba menyembunyikan sesuatu,percayalah saat-saat tumbangnya kerajaan BN semakin hampir.
Undi tak percaya rakyat akan diberikan kepada setiap pemimpin BN dalam PRU yang akan datang dan mereka akan kecundang seorang demi seorang,percayalah.
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni
8 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan