PILIHAN RAYA Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun. Ahli Parlimen baru bagi Bukit Gantang, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin mengupas perkara ini kepada Intan Abdullahdi kediamannya di Kampung Sungai Rokam, Ipoh, sehari selepas dinobatkan sebagai pemenang pilihan raya kecil kawasan itu 7 April lalu.
Bagaimana Dato’ Seri melihat ‘mood’ pengundi Melayu dalam keputusan pilihan raya kali ini?
DATO’ SERI IR MOHAMAD NIZAR: Secara keseluruhannya, keputusan itu membayangkan bahawa rakyat Perak meletakkan kekecewaan mereka. Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini rakyat telah memilih Pakatan Rakyat. Pada saat akhir tarikh penamaan calon memang ‘mood’nya itu adalah menyokong Pakatan Rakyat.
Tetapi pengundi Melayu ini mereka termakan juga dengan beberapa propaganda Umno-BN yang mencerminkan bahawa mereka ini payah lagi hendak berubah. Jadi saya nampak bahawa kami kena bekerja kuat untuk mengalihkan pandangan supaya kita dapat ubah persepsi mereka terhadap Pakatan rakyat ini.
Yang keduanya, ia juga mencerminkan kejumudan masyarakat di Bukit Gantang itu sendiri kerana ramai anggota masyarakat Melayu masih jumud dan tidak terbuka. Pemikiran lama masyarakat Melayu masih menebal.
Faktor yang menyebabkan keadaan ini akan dikaji. Antaranya termasuklah maklumat yang tidak sampai, masih dikongkong dengan pemikiran lama oleh pimpinan Umno, tidak dapat akses kepada maklumat yang betul. Ini menyebabkan mereka jumud dan tidak terbuka.
Tetapi pada masa yang sama, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan yang luar biasa daripada masyarakat bukan Melayu. Apakah ini satu lonjakan?
Ini sememangnya telah dijangka pada peringkat awal kerana ‘mood’ orang Cina di seluruh negeri Perak dan ‘mood’ orang India ini mereka mahukan perubahan dan salah satu daripada manifestasi perubahan itu adalah dengan mengundi Pakatan Rakyat. Yang itu bukan hanya di Bukit Gantang, malah keseluruhannya.
Jadi, Bukit Gantang ini merupakan kemuncak apabila mereka memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, yakni kepada PAS sendiri sepertimana dijangka pada peringkat awal lagi sokongan ini. Cumanya luar biasa ini dari segi sokongan itu memuncak itu oleh kerana ada faktor lain yang dicetuskan oleh pihak MCA, Gerakan pada saat akhir menyebabkan sokongan di dua dan tiga kawasan Cina menurun pada saat akhir.
Suasana kempen dan tekanan-tekanan ke atas Pakatan Rakyat bermula dari Februari sehingga kini. Adakah Dato’ Seri melihat pilihan raya ini merupakan satu episod politik jahat Umno-BN?
Saya melihat keputusan ini sebagai satu pungutan suara rakyat Malaysia umumnya dan Perak khususnya apabila kita tengok tragedi yang berlaku kepada negeri Perak setelah rampasan kuasa dibuat oleh Najib Razak sehinggalah kepada hari penamaan calon oleh kerana bukan kerana simpati namun sokongan itu tidak berbelah bahagi.
Puncanya kerana kezaliman, kerana mereka tidak boleh menerima hakikat. Kerajaan ini diambil begitu sahaja tanpa mengikut lunas-lunas perundangan. Jadi kita lihat mereka menterjemahkan kekecewaan itu dalam bentuk pilihan raya, pungutan suara itu sendiri.
Masyarakat Malaysia juga mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pimpinan Umno-BN bahawa pelantikan dan penurunan kuasa kepada Najib Razak itu tidak memenuhi kehendak dan aspirasi mereka yang mahu pimpinan yang bersih, cekap. Jadi, terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita duga dan timba daripada keputusan Bukit Gantang ini kerana ia mencerminkan dan mengeluarkan pelbagai isyarat kepada banyak institusi dan individu khususnya institusi politik.
Adakah ini bermakna kekalahan BN di ‘dua bukit’ merupakan petanda bahawa BN sudah tidak relevan?
Saya tidak tahu di Bukit Selambau, tetapi di Bukit Gantang ini, BN sama ada mereka tidak belajar atau tidak daripada kesalahan mereka itu, tetapi mereka telah mengulangi kesalahan mereka dengan mendera rakyat dan juga pengundi. Mereka mendera parti yang bertanding iaitu PAS dan juga mereka mendera saya sendiri sebagai calon.
Penderaan ini mereka buat beberapa kali sebelum ini, dan itulah yang menyebabkan kekalahan. Walaupun dahulunya mereka buat begitu juga tetapi oleh kerana dahulu suasananya berbeza kerana dan ‘timing’ untuk Bukit Gantang, jadi mereka laksanakan benda yang sama untuk Bukit Gantang dalam persekitaran yang berbeza dan juga dalam situasi yang berlainan, akibatnya apa yang dilakukan oleh mereka iaitu propaganda akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Saya ingat mereka terlepas pandang apa yang berlaku pada hari ini adalah rakyat melihat kezaliman itu amat memuncak. Kezaliman ke atas Pakatan Rakyat khususnya kepada diri saya sendiri yakni penganiyaan itu, rakyat mungkin melahirkan pemberontakan ke atas kerajaan asal iaitu kerajaan Pakatan Rakyat. Semuanya itu diterjemahkan dan dimanifestasikan kepada keputusan pilihan raya ini.
NAK BACA LANJUT DI BLOG INI http://sanggahtoksago.blogspot.com
0 comments:
Catat Ulasan