Preview
Remove image

Doa Kami...

Firman Allah Swt“ Janganlah kamu cenderung kepada KEZALIMAN kelak kamu akan disambar oleh api neraka.”

Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk
neraka jahannam dalam keadaan hina dina! -Surah Al-Mukmin ayat 60




DS NIZAR MB PERAK!!!!


kemaskini 8.34pm Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

1 comments:

Prof. Era Pasca berkata...

hahahah alhamdulillah... pasni PEMUDAH UMNO nak g wat piket ramai dan berarak ke balai polis untuk buat report MAHKAMAH DERHAKA... hahaha... ade brani ke mereka?