Pagi ini (9 Februari 2009) UMNO akan berhimpun di Dataran DBI dan berarak ke Istana Kinta untuk menyatakan sokongan kepada DYMM Sultan Perak. Sejak seminggu ini berkumandang laungan 'Daulat Tuanku' di mulut pemimpin dan ahli UMNO khususnya di negeri Perak. Kelihatannya UMNO begitu menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan dan sekelian kerabat Diraja. UMNO pembela institusi Diraja. UMNO akan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja sehingga ke titisan darah yang terakhir. UMNO mahu mengusir penderhaka dari bumi bertuah payungan Raja.
Selain dari UMNO, semuanya menderhaka kepada Raja dan pengkhianat bangsa. Dato' Seri Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah penderhaka. PAS, PKR dan DAP adalah penderhaka. Sekelian yang berbeza pendapat dengan UMNO dalam krisis di Perak adalah derhaka kepada Raja. Rakyat yang meluahkan rasa kecewa terhadap cara luarbiasa pertukaran kerajaan negeri dihukum muktamad sebagai penderhaka.
Penderhaka perlu dihukum. Pingat dan gelaran yang dianugerahkan oleh Raja mesti ditarik balik. Sekelian yang tidak sependapat dengan keputusan istana mesti diusir dari bumi Darul Ridzuan. Nizar patut disumbat ke Kem Tahanan Kemunting di bawah peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
UMNO bangkit dengan suara lantang. Pemimpin UMNO berlumba muncul di media cetak dan elektronik untuk menjadi juara membela Raja. Mufti yang baru dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan turut mengecam penderhaka. Pemuda UMNO muncul di merata balai polis membuat laporan. Bloggers UMNO memaki hamun penderhaka dengan seribu satu perkataan dan ayat cemuhan. Bodoh, bangang, tolol, babi, celaka, laknat, lahanat, haramjadah, anak haram, beruk, biawak, tak sedar diri, pantat, biul, malaun dan yang semaksud dengannya dihambur oleh bloggers UMNO kepada si penderhaka daripada PAS, PKR, DAP dan siapa saja yang bersimpati dengan mereka.
TV 1, 2, 3, 7, 9 dan Astro Awani bersama Utusan Malaysia, Berita Harian, Metro, Kosmo dan Sinar Harian melapor dan mengulas perderhakaan ini dengan cukup meluas. Apa jua kenyataan resmi atau tidak resmi pemimpin Pakatan Rakyat yang boleh diolah untuk menggambarkan derhaka dan menentang Sultan, pasti dilapor dan dikembangkan dengan sempurna. Bagi mengesahkan penderhakaan itu maka apa jua kenyataan Pakatan Rakyat yang menafikan tindakan mencabar Sultan atau menjelaskan kekeliruan tanggapan yang timbul tiadalah mendapat tempat di media cetak dan elektronik itu.
Benarkah UMNO pertahan Raja?
Rakyat Malaysia mampu menilai realiti sikap, cara dan pendirian semua pihak khususnya parti-parti politik berhubung institusi Raja ini melalui rekod yang tidak mungkin dapat disorok oleh sesiapa pun. Arkib berita akhbar-akhbar yang sama khususnya Utusan Malaysia dan Berita Harian mampu menjelaskan segala-galanya. Itu pun kalau kita mahu berlaku adil dalam menganalisis dan cukup waras untuk jadi realistik. Kalau emosi menjadi tunjang dan kefanatikan merajai akal maka tiadalah yang dapat ditimbang di dalam minda dan jiwa.
Krisis perlembagaan di awal tahun 80an adalah sejarah besar melibatkan institusi Raja dan Kesultanan Melayu. Media perdana kawalan UMNO menelanjangkan aib Raja, Sultan dan kerabat berbulan-bulan lamanya. Perdana Menteri UMNO mengungkit, menyindir dan menghentam Raja selagi mau. Perhimpunan-perhimpunan raksaksa diadakan di seluruh negara untuk memalukan Raja. Istana dan harta sekelian Sultan, Raja serta kerabat baginda semua dipaparkan dalam akhbar dan ke udara di media elektronik dengan rupa yang amat hodoh dan cemar sekali. Laku yang salah dan amal yang songsang sekelian Raja dan kerabat menjadi tatapan sekelian rakyat jelata hampir setiap hari selama beberapa bulan.
Kemuncaknya ialah berhasil pindaan perlembagaan negara dan perlembagaan hampir semua negeri yang menamatkan imuniti Sultan dan Raja. UMNO mencipta sejarah tersendiri hasil usaha mega yang terancang mengaibkan istana semau-maunya. Kesultanan Melayu terpaksa akur dan tunduk kepada yang lebih Raja dari baginda semua iaitu pemimpin UMNO. Ahli-ahli UMNO sentiasa sibuk sepanjang tempoh menyembah derhaka kepada Raja yang memakan masa berbulan-bulan itu. Berhimpun dan berdemonstrasi. Melaungkan sembah jerit dan sembah maki kepada istana dan seluruh isinya. Raja membazir! Raja jahat! Raja membunuh! Raja berpoya-poya! Raja sombong! ... dan apa saja yang mahu UMNO katakan. Istana terkunci daya kerana rakyat jelata digerakkan oleh UMNO berpadu tenaga menyanggah selagi upaya. UMNO berjaya. Istana terhukum. Pemimpin UMNO mengambil alih kedaulatan dari Istana Negara berpindah ke Seri Perdana hingga ke Putra Jaya dan dari istana-istana negeri ke kediaman Menteri Besar masing-masing negeri.
Rujuk di sini dan di sini dan di sini dan di sini dan banyak lagi.
Episod terbaru, berlaku hanya beberapa bulan yang lalu selepas pilihanraya umum ke 12 tahun 2008.
Apabila istana Terengganu tidak sedia memberi perkenan kepada Idris Jusoh untuk bergelar Menteri Besar, UMNO murka terhadap Raja. Abdullah Ahmad Badawi Presiden UMNO bertitah di Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi menyatakan bahawa Istana tiada hak untuk tidak memberi perkenan. Istana diperingatkan tentang tanahair ini beraja dan berperlembagaan. Raja tidak sayugia menyanggah perlembagaan. UMNO berhimpun di jalanan dengan sepanduk dan slogan termasuk kata-kata "KAMI NAK IDRIS ... NATANG!" dengan maksud "hoi raja! kami mau Idris Jusoh jadi menteri besar ... binatang!". Raja dihamun dengan gelaran "binatang". Begitulah cara UMNO menjunjung kasih menyembah taat setia.
Isu Terengganu boleh diimbas kembali di sini dan di sini dan di sini dan di sini dan di sini dan di banyak sumber lain lagi.
Bukan hanya peristiwa sensasi itu sahaja malah pemimpin-pemimpin UMNO membuat kenyataan demi kenyataan sembah derhaka kepada raja. Media cetak dan elektronik tawanan UMNO tidak ketinggalan dengan laporan dan analisis yang mempertikaikan istana. Kebetulan masalah yang sama turut berlaku di Indera Kayangan. UMNO bertegang urat dan leher dengan istana walau pun akhirnya kecundang di tangan Mat Isa Sabu. Shahidan jadi sejarah.
Laporan dan analisis isu Perlis di sini dan di sini dan di sini dan di sini dan banyak lagi.
Demikian cebisan catatan sejarah hubungan UMNO dengan Sultan, Raja dan Istana. Jika ada seminar yang panjang, banyak lagi yang boleh dibentangkan dari catatan resmi sejarah, berdalilkan majalah dan akhbar kawalan UMNO sendiri serta arkib siaran media elektronik yang juga bertuankan UMNO. Bukan bukti dari Harakah atau Malaysia Today.
Tiba-tiba sehari dua ini UMNO isytihar diri sebagai pembela Kesultanan Melayu. Bangkit mempertahankan Sultan daripada onar sang penderhaka dan pengkhianat bangsa.
Benarkah UMNO pembela Raja?
http://cacamerbamakhlukpolitik.blogspot.com/
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni
8 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan