Kini, hampir setiap hari kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar.
Inilah politik kotor yang dimainkan oleh ‘parti kotor’ seperti Umno. Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor. Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah.
Umno penderhaka agung
Jika Umno tidak diserang penyakit ‘amnesia’ (penyakit mudah lupa) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini. Kerana apa? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka, maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai “penderhaka par excellence” (penderhaka agung).
Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah “kepala penderhaka” apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.
Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menggantikan Sultan Kelantan? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Mungkin parti itu menganggap mengganti sultan semudah menukar pengerusi JKKK.
Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat.
krisis perlembagaan 1983
Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain.
Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina masyarakat awam.
Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983, Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.
Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m.s. 13).
Semasa krisis itu juga, media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997; (Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak mendorong baginda enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan); dan di Pahang pada tahun 1979 (membabitkan Datuk Rahim Abu Bakar).
juara menderhaka
Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja, saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993.
Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum; media-media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang Menteri yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat Diraja tertentu.
mengaibkan raja-raja
Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti mana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983.
Bersandarkan bukti-bukti di atas, kini sipenderhaka Umno yang sama tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka.
Ya, memang benar Nizar mengakui telah “menyembah sembah derhaka” semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan “hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka”.
“Sembah derhaka” bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil “hamba tua” . Ini bahasa istana dan nak buat macam mana?
jahil bahasa istana
Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap Nizar sebagai derhaka apabila memohon “menyembah sembah derhaka? . Naif dan ceteknya pemikiran Umno.
Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya. Ini kerana berdasarkan Perkara 16(7) Perlembagaan Negeri Perak, secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan (at his pleasure) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan dipecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri Besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan.
Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan (ceases command of confidence) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak.
Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang?
Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966) 2 MLJ 187, Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak (sama seperti Perlembagaan Negeri Perak) “lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri” (kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri (sama seperti Dewan Undangan Negeri)).
undi tidak percaya
Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan. Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Ketiga-tiga bekas Adun Pakatan Rakyat hanya menjadi Adun Bebas dan bukannya Adun BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga Adun berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dun.
Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga Adun ini masih boleh dianggap sebagai Adun kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai Adun seperti mana surat mereka yang telah ditandatangani dan dialamatkan kepada Tuan Speaker.
Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak, surat perletakan jawatan ketiga-tiga Adun tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih boleh dikira Adun atau tidak, badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut hanyalah Dun Perak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan: “Jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli Dun itu telah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad”.
Dun tentukan status Adun
Jelas Dun Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih layak sebagai Adun atau tidak dan keputusan Dun tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M. Sultan melantik Menteri Besar yang baru, Dun Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dun Perak.
Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M. Sultan untuk “memohon menyembah sembah derhaka” untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya “sembah derhaka” tersebut difahami oleh sipenderhaka Umno sebagai derhaka. _ HRKH
2 comments:
BAGUS ARTIKEL ADIK SYA INI.
SAYA MERASAKAN IANYA PENJELASAN YANG BERGUNA PADA RAKYAT.
TAPI....
ADAKAH PENDERHAKAN PADA KALI INI DARI PAKATAN RAKYAT DIHALALKAN???
TERANG-TERANGAN PAKATAN RAKYAT DARI PENYOKONG DAN BLOGGER YANG TAKSUB MENCACI SERTA MENGHINA SULTAN.
PERKATAAN YANG KASAR SERTA PEDAS DILEMPARKAN PADA SULTAN.
KENAPA???
KENAPA TIDAK AKUR TITAH SULTAN???
KENAPA PERLU MEMBUAT DEMONTRASI DENGAN BERGULING-GULING DI DEPAN ISTANA???
SEDAR ATAU PUN TIDAK YANG SULTAN MURKA AKAN PEKARA INI???
SEKARANG SULTAN SELANGOR SUDAH MENYUARAKAN KEBIADAPAN INI.
NASIB BAIK BUKAN BERLAKU PADA SULTAN JOHOR.
JIKA DI JOHOR....
EMMM HABIS SEMUA KENA BUANG NEGERI
siapa pun kita kita tetap hamba allah,maka pada setiap yang kita lakuakan bukan perlu datang dari kita namun ia perlu datang dari petunjuk tuhan...kalau keputusan yang dibuat itu tidak betul maka akan dapat dilihat musibahnya..jika betul semua akan baik...insyaallah..
sultan juga manusia kita diperintahkan TAAT hanya pada ALAAH swt bukan hamba...kita hanya boleh menghormati sultan namun bukan sampai mengadaikan maruah hukum islam itu sendiri...
akur hanya pada kebaikan namun bukan pada kezaliman...rakyat punya hak lebih besar berbanding sultan...cuba fikirkan jika sultan ada negeri tapi tiada RAKYAT adakah dia akan dihormati???
fikirlah
Catat Ulasan