FEB 8 - Nizar Jamaludin telah mencipta ungkapan yang akan menjadi klasik dan akan menjadi renungan. Ia bertali-tali dalam SMS, diulang sebut dalam Facebook dan lain-lain wahana. Apa yang berlaku adalah proses perundingan dan pentakrifan kolektif budaya politik Melayu. Nizar dititah undur sebagai menteri besar dan menteri besar itu “menyembah mohon derhaka,” satu ungkapan yang oxymoron kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Derhaka dalam erti kata yang mudah adalah tidak patuh kepada raja. Dalam konteks sistem politik dimana sultan memiliki kuasa mutlak derhaka adalah satu perlanggaran yang berat. |
Tetapi kita tidak hidup di zaman rex non potest peccare - raja tidak melakukan kesalahan, titah raja adalah hukum dan sentiasa benar. Tetapi kini raja diikat oleh perlembagaan. Nizar melakukan sesuatu yang terdapat dalam peruntukan perlembagaan, negeri Perak, perlembagaan yang sama mengikat Sultan Perak. Maka Nizar tidak derhaka. Tetapi Nizar bercakap dengan Sultan, maka laras bahasanya perlulah mengikut bahasa pertuturan rakyat bercakap dengan Sultan. Namun betulkah pantang Melayu menderhaka kepada raja? Tun Perak melakukan tindakan yang menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang diarahkan oleh sultan. Hang Tuah difitnah melakukan hubungan sulit dengan salah seorang gundik raja dan bendahara tersebut tahu laksamana itu tidak bersalah dan beliau tahu yang salah adalah sultan yang menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tindakan bendahara menyembunyikan Hang Tuah tidak diketahui sultan sehinggalah baginda memerlukan laksamana tersebut untuk menewaskan Hang Jebat. Sekiranya sultan tahu bendahara tidak melaksanakan hukuman mati tersebut sebelum Hang Jebat memberontak sudah pasti bendahara akan diistihar derhaka dan dihukum mati. Tetapi tradisi persuratan Melayu tidak mencemoh Tun Perak sebagai derhaka. Bahkan beliau melihat keingkarannya kepada perintah sultan sebagai satu tindakan yang berani dan adil. Berani kerana melakukan sesuatu yang boleh menggadai nyawanya sendiri, dan adil kerana tidak bersekongkol dengan kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh sultan. Tetapi Tun Perak hidup dizamannya dan dalam sistem zaman itu. Dia tidak boleh “menyembah mohon derhaka”.
|
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni
8 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan